Datuk Mukhriz Tun Mahathir  
  • Datuk Mukhriz Tun Mahathir
 
YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mendesak pihak tertentu termasuk orang luar agar menghentikan kegiatan yang boleh mengeruhkan hubungan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau.
  
Beliau yang tidak menjelaskan siapa yang dimaksudkan sebagai orang tertentu, berkata pihaknya memandang serius terhadap usaha mereka yang cuba menggugat suasana harmoni di Dun Sungai Limau pada saat akhir kempen pilihan raya kecil kawasan itu yang akan berakhir tengah malam ini.

Beliau turut mengingatkan para pengundi supaya berhati-hati apabila didekati orang yang tidak dikenali yang mungkin mempunyai agenda tertentu untuk menggugat perjalanan pilihan raya kecil.
  
"Kami pun tidak tahu dari mana mereka datang, tetapi kadang-kadang cara mereka berkempen, tidak sesuai dengan persekitaran ataupun suasana pilihan raya kecil Dun Sungai Limau," katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk Kampung Seberang Jaya 2, Kuala Sala dekat sini hari ini.
 
Beliau berkata, pihaknya juga menerima beberapa laporan berhubung kegiatan provokasi dan tidak beretika daripada pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengugut pengundi tempatan.

Mukhriz juga mengingatkan mereka agar tidak cuba menghalang perjalanan proses pengundian pilihan raya kecil itu dengan menimbulkan kesesakan lalu lintas.
  
"Ini hak pengundi-pengundi di Dun Sungai Limau untuk keluar mengundi. Janganlah ada mana-mana pihak yang sengaja meletakkan kereta mereka di tepi-tepi jalan bertujuan menyusahkan perjalanan pengundi ke tempat mengundi.
  
"Saya bimbang ini satu taktik oleh pihak tertentu kerana setiap kali pilihan raya kecil ada saja masalah yang sama iaitu lalu lintas sengaja disesakkan supaya pengundi tidak ramai yang boleh sampai ke tempat mengundi.
  
"Secara umumnya, kita semua tahu setiap kali jumlah yang keluar mengundi bertambah, peluang untuk Barisan Nasional (BN) menang pun meningkat," katanya. - Bernama